Jom Kita Bersama-sama Menjadi Warga Bijak Mengurus Kewangan

Saturday, June 11, 2011

Hak Pengguna

Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

Hak untuk mendapatkan ganti rugi

Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.

Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

http://www.mypengguna.com/

Cara Mengurangkan Penggunaan Beg Plastik


Penggunaan beg plastik telah menjadi kelaziman sejak dari dahulu lagi. Antara sedar atau tidak penulis pasti banyak yang kurang peka akan impaknya beg plastik terhadap alam sekitar kita. Hanya baru-baru ini keprihatinan itu baru dikomersilkan dan banyak gedung-gedung membeli belah menyokong akan usaha untuk tidak menggunakan lagi beg plastik. Kita masih belum terlambat untuk berubah, penulis menyeru rakyat-rakyat Malaysia sama-sama menghidupkan usaha pemeliharaan alam sekitar ini agar generasi pelapis masa depan terus dapat menikmati keindahan alam seperti sekarang.

Ikutilah 4 tips yang diberikan dibawah ini agar anda lebih jelas untuk mempraktikan ia dalam kehidupan seharian :-

BAWA BEG SENDIRI KETIKA MEMBELI-BELAH

Bagi mengurangkan longgokan beg plastik, bawalah beg sendiri semasa anda membeli-belah. Dan sentiasa menggunakan beg yang sama berulang-kali setiap kali membeli-belah. Jika takut terlupa untuk membawanya, simpan beg tersebut didalam bonet belakang kereta. Dengan ini anda sudah menyelamatkan alam dari dicemari beg-beg plastik.

ELAK MENERIMA BEG PLASTIK UNTUK SETIAP BULAN
Beg plastik sentiasa diberi kepada anda setiap kali anda melakukan pembelian walau dimana-mana sahaja. Tidak kiralah barang yang dibeli itu walau sebatang pen mahupun seketul pemadam pasti beg plastik diberikan. Oleh itu, jika barang belian itu kecil masukan sahaja dalam poket seluar atau beg sandang, atau beg tangan selepas membayarnya.

ELAK MENGGUNAKAN BEKAS MAKANAN DARIPADA 'FOAM' ATAU POLIETILENA
Jangan malu melakukan pembaharuan ini, setiap kali mahu membeli makanan di luar, bawalah bekas "tupperware' atau mangkuk tingkat untuk diisi makanan. Elakkan dari menggunakan bekas makanan daripada 'foam' atau polietilena kerana bekas-bekas tersebut boleh membahayakan kesihatan.

BAWA BAKUL JIKA KE PASAR
Kaedah yang sudah lama dilakukan oleh orang-orang terdahulu dan masih menjadi ikutan. Iaitu menggunakan bakul dalam urusan pembelian barang-barang basah. Gunakan kertas minyak tebal semasa membeli daging dan ayam sebelum memasukkannya kedalam bakul. Cuba ingatkan pada si penjual supaya membalut barang belian anda seperti sayur, buah-buahan dan ikan dengan surat khabar kerana bahan tersebut mudah lupus. Jangan lupa menggunakan bakul yang tidak berlubang dibawahnya supaya air ikan/ayam tidak menitis keluar.

Oh ye..
Menurut perangkaan, rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula bernilai RM476 juta 2 tahun lalu. Selain kertas yang mencatat pengeluaran sisa terbanyak iaitu 17 peratus atau RM205 juta, sumber kedua terbesar ialah plastik iaitu 9 peratus atau RM163 juta.

Di sini kita dapat membuat kesimpulan bahawa dengan mengurangkan penggunaan beg plastik,kit ajuga dapat menjimatkan wang bukan?
BIJAK !

Sunday, May 1, 2011

10 Panduan Berjimat Cermat untuk Pelajar Kampus
Menjadi seorang pelajar kampus sudah tentunya bukan tugas mudah. Selain mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan, anda juga perlu menguruskan wang agar dapat menjalani hidup sebagai seorang pelajar dengan aman dan tenang. Sekiranya gagal menguruskan wang dengan bijak, ia boleh menganggu tumpuan dan seterusnya memberi kesan kepada pembelajaran anda.
Sebenarnya, pengurusan kewangan yang baik boleh dimulakan hanya dengan mempraktikkan teknik-teknik mudah menyimpan wang. Securities Industry Development Corporation (SIDC), cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia ingin berkongsi 10 panduan berjimat cermat untuk pelajar kampus. Setelah selesai membaca artikel ini, anda boleh mempraktikkan panduan-panduan yang diberi dan mengaplikasikannya mengikut keadaan kewangan anda selaku seorang pelajar.
Panduan 1: Amalkan Peraturan 10 Peratus 

 Secara amnya, Peraturan 10% bermakna anda perlu menyimpan 10% daripada wang yang anda miliki setiap bulan. Contohnya, jika anda mempunyai RM500 setiap bulan, simpanlah RM50. Apabila menerima duit pinjaman PTPTN, MARA, biasiswa atau elaun daripada ibubapa setiap bulan, pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah yang diperolehi. Wang ini boleh dijadikan simpanan dan pelaburan anda pada masa depan. Amalan ini juga akan mendidik anda untuk menjadi lebih konsisten dan berdisiplin dalam menyimpan wang pada masa akan datang.
Panduan 2: Wujudkan Dana Kecemasan

Sebagai pelajar, ada masanya akan berhadapan dengan kejadian yang tidak dijangka dan ianya memerlukan perbelanjaan yang banyak. Sebagai contoh, anda boleh jatuh sakit dan perlu dibawa ke hospital, kenderaan atau komputer mungkin rosak dan perlu diperbaiki, serta isu-isu kewangan yang lain. Sekiranya anda tidak mempunyai dana kecemasan, anda pasti akan berdepan dengan pelbagai masalah. Namun, dengan adanya dana kecemasan, anda tidak perlu runsing dan berhutang dengan orang lain kerana anda mempunyai wang simpanan sendiri. Tetapi ingat: Dana kecemasan harus digunakan untuk KECEMASAN SAHAJA!
Panduan 3: Amalkan tabiat melabur

Menyimpan wang adalah tabiat yang baik tetapi anda perlu melaburkan duit tersebut agar mendapat pulangan yang lebih. Amalkan tabiat melabur secepat yang mungkin supaya anda boleh mendapat pulangan yang maksimum daripada pelaburan. Rebutlah peluang daripada kuasa pengkompaunan dengan melaburkan wang anda dalam produk pelaburan yang sesuai. Sebelum memulakan pelaburan, lakukanlah kaji selidik yang mencukupi dengan membaca prospektus, laporan kewangan dan laporan tahunan, majalah perniagaan dan lain-lain. Dalam memilih produk pelaburan yang paling sesuai dengan tahap risiko, matlamat kewangan dan bajet yang ada,anda perlu mengenali sedikit sebanyak tentang konsep pelaburan.
Panduan 4: Buat perbandingan harga semasa membeli-belah

Dengan membandingkan harga dan mencari tawaran yang terbaik, anda mampu menjimatkan wang setiap kali membeli-belah. Membandingkan harga juga mengajar kita untuk menjadi lebih berhati-hati dan bersabar semasa membeli barang. Sebagai seorang pembeli yang bersabar dan berhati-hati, anda tidak akan terdorong oleh nafsu ketika membeli, malah akan sentiasa berusaha mendapatkan nilai yang terbaik untuk wang anda!
Panduan 5: Potong kad kredit anda

Kajian yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis berusia 30 tahun ke bawah. Statistik ini antara lain menggambarkan bahawa pelajar kolej dan golongan dewasa yang baru mula bekerja mewakili 50% daripada rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap. Tidak kiralah jika anda memilki kad kredit sendiri atau diberi kad kredit oleh ibubapa, tanyalah diri sendiri: “Perlukah saya memiliki kad kredit?” Ingat! Jadilah pengguna kad kredit yang bertanggungjawab kerana anda (atau ibubapa anda) yang perlu membayar hutangnya nanti!
Panduan 6:  Kurangkan bil elektrik anda

Sedar atau tidak, tidak ramai yang mengambil berat isu penggunaan elektrik. Memasang lampu walaupun tiada orang di rumah merupakan suatu perkara lazim yang dipandang remeh walaupun ia merupakan satu pembaziran. Sebenarnya,apabila anda menjimat elektrik, anda juga menjimatkan wang. Antara perkara yang boleh dipraktikkan ialah mengekalkan kelajuan kipas pada tahap sederhana, menggunakan lampu jenis jimat tenaga, serta mengurangkan tahap kecerahan skrin komputer.
Panduan 7: Jadilah pelajar yang bijak

Sebagai pelajar yang bijak dalam pelajaran, anda juga perlu bijak berbelanja. Cetak tugasan anda di kedua-dua belah muka surat kertas, beli isian semula mesin pencetak dan bukannya kartrij pencetak, pinjam buku rujukan daripada pelajar senior/rakan/perpustakaan, sewa rumah bersama kawan-kawan dan makanlah di kampus. Secara amnya, perkhidmatan dan kemudahan di kampus seperti sewa asrama, fotokopi dan lain-lain adalah lebih murah, jadi ambillah kesempatan ini! Lebih elok lagi, kumpulkan kawan-kawan anda dan carilah peluang mendapatkan diskaun apabila membeli barang (buku, alat tulis, dll) secara pukal di kampus.
Panduan 8: Gunakan kad pelajar anda

Kad pelajar adalah salah satu instrumen yang sangat membantu dalam usaha anda menyimpan wang. Anda boleh menggunakannya untuk mendapat diskaun ketika menonton wayang, membeli buku, menaiki LRT, melayari Internet, bercuti, makan, bersukan dan sebagainya. Bayangkan penjimatan yang anda dapat!
Panduan 9: Gunakan pengangkutan awam

Menggunakan pengangkutan awam biasanya melibatkan kos yang lebih rendah berbanding memandu kereta. Jika kurang minat menaiki pengangkutan awam, kongsi kereta bersama rakan-rakan! Fikirkan juga tentang membeli motosikal atau basikal supaya boleh menjimatkan wang untuk petrol. Sentiasa merancang perjalanan mengikut jadual dan keperluan sahaja. Sebagai contoh, jika destinasi yang dituju tidak jauh dan cuaca mengizinkan, apa salahnya jika berjalan kaki berbanding memandu kereta?
Panduan 10: Gunakan Internet untuk membuat panggilan

Daripada menghabiskan wang untuk menambah nilai telefon bimbit, apa kata anda membuat panggilan melalui Internet? Anda bukan sahaja dapat berbual sepuas-puasnya, malah tidak perlu membayar walau sesen pun (jika mengunjungi “wi-fi hotspot” percuma). Sekiranya terdesak atau terpaksa menggunakan telefon bimbit, jangan lupa bahawa lebih murah untuk menghantar mesej (SMS) berbanding membuat panggilan.
Kesimpulannya, kehidupan di kolej atau universiti bukanlah sekadar mentelaah pelajaran semata-mata. Selaku pelajar, anda juga akan menerokai pelbagai aspek kehidupan dan akan menempuhi pelbagai pengalaman yang mampu mencorak kehidupan anda kelak.Anda semestinya tidak mahu masalah-masalah berkaitan wang menjadi isu yang membebankan anda di kampus. Dengan mempraktikkan “10 Panduan” yang telah diberikan, anda sepatutnya boleh menikmati kehidupan kampus yang bebas daripada tekanan, seronok, dan mengujakan!

sumber : http://www.min.com.my
 
 

Saturday, April 30, 2011

Berjimat Amalan Mulia

Setiap orang mestilah bersikap berjimat cermat untuk membantu kita pada masa hadapan. 

     Kita mestilah melatih diri kita supaya berjimat cermat.Kita tidak boleh membazirkan wang walaupun sedikit.Kita perlu berjimat cermat untuk kebaikan diri kita di masa hadapan.

Contohnya,apabila kita mempunyai RM2 kita mestilah berbelanja sebanyak RM1 dan RM1 pula disimpan di dalam tabung. 


     Kita boleh menggunakan duit yg kita simpan semasa kita ditimpa kesusahan.Oleh itu,kita mestilah pandai menggunakan duit menggunakan wang kerana apabila kita ditimpa kesusahan,kita tidak akan berasa bimbang untuk mencari wang kerana berkat kita berjimat cermat. 

     Wang simpanan kita boleh digunakan untuk masa hadapan.Oleh itu,kita janganlah membazirkan air,elektrik dan banyak lagi.Amalan berjimat cermat adalah sifat mulia untuk kita. 

     Apabila kita berjimat cermat ,kita akan diberkati dengan rezeki yg halal daripada Allah taala.Kita juga hendaklah rajin untuk berjimat cermat. 

     Jika kita berjimat cermat,kita akan dihormati oleh orang lain.